Tuesday, April 7, 2015

Gemuk Boleh Buat Kerja - Abam

Pelawak Syed Umar Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Abam menyifatkan kejayaannya meraih gelaran Pelakon Komedi Paling Popular pada majlis anugerah ABPBH 2014 baru-baru ini sebagai bukti bahawa orang berbadan besar juga layak diangkat menjadi popular. Jelas anggota kumpulan Bocey ini, selama ini ramai yang berfikiran individu berbadan besar terbatas untuk melakukan banyak perkara kerana fizikalnya yang dikatakan sebagai penghalang. Malah, dia sendiri pernah hampir berputus asa dan berasa tertekan dengan tanggapan sebegitu. Namun, dengan kemenangannya pada malam Ahad lalu, Abam berharap ia akan mengubah persepsi masyarakat. "Belum pernah orang berbadan besar diangkat menjadi popular. Jadi, saya berharap kemenangan saya ini sebagai bukti orang gemuk juga mampu buat kerja. "Satu ketika, saya pernah rasa putus asa dek tanggapan sesetengah orang yang menganggap orang gemuk macam kami tidak mampu buat kerja. "Namun, ibu saya banyak memberi semangat dan inspirasi kepada saya. "Gemuk is awesome (gemuk menakjubkan) dan saya sudah buktikan yang fizikal bukan penghalang untuk kami mampu buat seperti mana orang lain mampu buat," katanya kepada Malaysian Digest ketika ditemui di Genting Highlands baru-baru ini. Katanya, dia masih seolah tidak percaya saat namanya diumum sebagai pemenang. Begitupun, Abam mengakui dia tidak akan memperolehi kejayaan tersebut tanpa peminat. "Saya tidak tahu mana datangnya peminat-peminat yang mengundi saya tetapi saya memang ada kelab peminat sendiri iaitu Abam Bocey Official dan saya juga dapat sokongan daripada Bocey FC. "Individu-individu yang mengendalikan kelab saya ini terdiri daripada kalangan remaja sekolah. "Walaupun mereka tidak ramai tetapi sokongan yang mereka berikan pada saya sangat padu sehingga saya berjaya meraih kemenangan ini. Saya sangat menghargai mereka," katanya. Sementara itu, Abam juga memberitahu selepas ini dia tidak akan bersifat 'demand' sebaliknya akan menaikkan sedikit harga bayaran. Jelasnya, dia berbuat sedemkian untuk menampung kos perbelanjaannya tetapi akan memastikan bayaran tersebut setimpal dengan kerja atau tawaran diberi. "Kepada semua pengarah dan penerbit, jangan takut ambil saya berlakon kerana saya akan cuba memenuhi kehendak mereka selagi saya mampu. "Namun, sebelum ini ada orang nasihatkan saya supaya 'demand' sikit. "Saya minta lebih sikit sebagai duit minyak, tol dan sebagainya. Apapun, terpulang pada rezeki dan ikutlah budi bicara pihak yang memberi tawaran itu. "Setakat ini saya tidak pernah menolak tawaran kecuali jika dari awal lagi saya tak mampu buat seperti yang dikehendaki pengarah," katanya. Perkembangan lain, Abam akan muncul menerusi filem keduanya berjudul Hantu Bungkus Ikat Tepi yang turut dibarisi pelakon seperti Nora Danish, Yus Jambu dan Taukeh Jambu. -mD

0 comments:

Post a Comment

loading...

Popular Posts

Recent Posts

Blog Archive

Powered by Blogger.