Monday, September 21, 2015

Suami T3rlanjur Bersama Janda Bila Berjauhan Dengan Isteri

SAYA mohon identiti saya dirahsiakan umum kerana saya tidak mahu mengaibkan sesiapa dalam masalah rumah tangga saya ini. Perkongsian ini sekadar untuk meleraikan segala kekusutan di hati yang kian sarat seakan tidak tertanggung lagi. Saya dan suami telah berkahwin selama dua tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang comel dan sempurna sifatnya. Kami berdua terpaksa hidup berjauhan dan tinggal berasingan kerana tuntutan kerja sejak berkahwin. Saya bekerja sebagai kakitangan kerajaan manakala suami bekerja sendiri dengan menguruskan perniagaannya. Pada awal perkahwinan suami tidak pernah berungut untuk tiap-tiap minggu balik berjumpa dengan saya. Selepas empat bulan bernikah saya disahkan hamil, lalu bermulalah episod hitam dalam hidup saya. Sepanjang mengandung dan menjaga diri sendiri di fikiran saya suami di sana mencari rezeki untuk kebahagiaan saya dan anak yang bakal lahir nanti. Itu hanyalah kata-kata manis untuk saya memujuk diri dan hati yang derita. Suami berubah sikap dari seorang yang mengambil berat dan selalu menghubungi menerusi panggilan telefon atau mesej, kini semakin sepi. Sejak kebelakangan itu dia lupa akan kehadiran saya dalam hidupnya, hinggakan pada suatu hari saya menghantar sms pun dia tidak balas. Kadang-kadang jam 3 pagi saya bangun dari tidur saya akan belek telefon bimbit melihat kalau-kalau ada mesej dan panggilan daripada suami. ALLAH itu maha adil dan pada suatu hari suami tertinggal telefon bimbit di rumah dan pada masa yang sama ada sms daripada seseorang. Tanpa berfikir panjang saya membaca sms tersebut. Hancur luluh hati saya membaca SMS berbunyi “SEHARIAN U TAK CALL, SMS I, MCM I NI TAK WUJUD DLM HIDUP U”. Pada malam tersebut saya menangis. Perempuan mengandung sangat sensitif dan perlukan kasih sayang seorang suami. Selepas peristiwa tersebut suami terus membuat kata kunci telefon bimbit dengan alasan tidak mahu saya tahu apa-apa mengenai dia. Saya benar-benar kecewa. Sewaktu kandungan saya sembilan bulan, saya didatangi perempuan tersebut yang mengakui telah menjalin hubungan dengan suami malah hubungan mereka sudah lebih dari suami isteri. Menggeletar tubuh yang sarat mengandung ini. Suami saya juga telah pun mengaku dengan alasan kami berjauhan. Kenapa dia tak beritahu dari awal? Bukankah hubungan kami boleh diselamatkan tanpa perlu dia berlaku curang? Pada saya, ini hanya alasan suami membenarkan kesalahan yang dia buat. Saya amat kecewa dengan perbuatannya. Saya bersalin seorang diri di hospital. Saya sedih dengan pengorbanan yang tidak dihargai. Saya tidak minta pengorbanan saya dibayar cukuplah sekadar menghargai. Sering kali saya meminta penceraian daripada suami tetapi bila memandangkan wajah anak kecil, saya jadi kasihan kepadanya yang membesar tanpa seorang bapa. Suami saya pernah berkata tidak akan menceraikan saya selagi saya tidak serahkan anak kepadanya. Suami sekarang sedang teruskan hubungan dengan janda tersebut manakala saya terlontar sepi seorang diri menjadi ibu dan ayah kepada anak tunggal kami. Saya telah ke pejabat agama mendapatkan nasihat dengan membawa segala bukti-bukti. Alhamdulillah hati sedikit tenang. Malah saya juga bercadang untuk berpindah tempat kerja agar dapat duduk sebumbung dengan suami. Tetapi, soalannya adakah suami akan berubah hati? Dan kembali kepada saya dan anak? Bagaimana saya mahu menambat hatinya semula sedang hati saya sakit? Saya masih sayangkan suami dan rumah tangga ini dan selalu berdoa suami kembali ke pangkal jalan.

0 comments:

Post a Comment

loading...

Popular Posts

Recent Posts

Blog Archive

Powered by Blogger.