Thursday, June 18, 2015

Kantoi! 6 warga emas dicekup tanpa segan silu makan di kedai makan bukan Islam

Beberapa warga emas dicekup di sebuah kedai makan bukan Islam pada hari pertama Ramadan. – Astro AWANI BANDAR MELAKA: Hari pertama bulan Ramadan dicemari dengan tingkah laku warga emas beragama Islam tanpa segan silu berada di sebuah kedai makan bukan Islam. Bagaimanapun, perbuatan mereka itu dikesan anggota Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang bertindak menyerbu kedai makan berkenaan, hari ini. Semasa serbuan itu dilakukan di dua premis di Bukit Rambai dan Tangga Batu, ada juga yang berjaya melarikan diri. Ketua Penguatkuasa JAIM, Rahimin Bani berkata, enam warga emas dicekup kerana perbuatan mereka disifat amat memalukan kerana langsung tidak menghormati bulan Ramadan. “Amat memalukan apabila segelintir umat Islam sanggup ponteng daripada berpuasa di premis makanan bukan Islam. “Perbuatan mereka ini sebenarnya menjatuhkan imej dan menghina agama Islam. “Kami pandang berat perkara ini dan mereka yang ditahan akan dikenakan tindakan,” katanya kepada pemberita selepas mengikuti operasi berkenaan. Operasi itu dijalankan ke atas 13 premis perniagaan di sekitar bandar raya dan melibatkan 20 anggota penguatkuasa. Tambah beliau, mereka yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka yang memperuntukkan denda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kedua, hukumannya berganda kepada RM2,000 dan penjara 12 bulan. Rahimin turut menegur beberapa restoran makanan segera yang menjual makanan kepada orang Islam pada waktu siang. Beliau berkata, operasi bukan sahaja mencegah kaki ponteng puasa sebaliknya pemantauan juga akan dilakukan di pusat-pusat hiburan untuk mengesan umat Islam yang tidak menghormati bulan Ramadan. Tambahnya, JAIM juga akan menaikkan lebih 2,000 poster dan kain rentang bagi mengingatkan kewajipan berpuasa dan menjauhi perkara dilarang agama. Beliau turut bercadang untuk melakukan operasi bersama agensi kerajaan lain susulan mendapati banyak premis perniagaan yang gagal menjaga aspek kebersihan. Sumber: Astro Awani

0 comments:

Post a Comment

loading...

Popular Posts

Recent Posts

Blog Archive

Powered by Blogger.