Wednesday, May 6, 2015

Lagu Yuna Ditolak Produser Furious 7?

Mungkin tidak ramai yang tahu penyanyi tempatan berbakat besar, Yunalis Zarai atau Yuna sebenarnya pernah mencuba nasib menghantar lagunya ke produksi Hollywood untuk dimuatkan sebagai lagu runut bunyi filem. Yuna memberitahu dia pernah menghasilkan lagu runut bunyi untuk filem hebat, Fast & Furious 7. "Buat masa ini saya tidak buat lagu untuk mana-mana filem tetapi sebenarnya saya ada diminta untuk menghasilkan lagu runut filem Furious 7. "Lagu tersebut saya cipta bersama seorang lagi komposer dan konsepnya lebih kurang sama dengan lagu See You Again. "Pihak pengurusan saya telah pun hantar lagu itu kepada pihak produser filem tersebut tetapi mungkin tiada rezeki saya kali ini sebaliknya, lagu Wiz Khalifa yang terpilih," katanya kepada Malaysian Digest. Pada tahun 2012, Yuna pernah dipertanggungjawab menyanyikan lagu tema filem Savages sebuah filem thriller dari Amerika Syarikat (AS) arahan Oliver Stone. Sekitar dua tahun lalu, dia sekali lagi diberi kepercayaan menyanyikan sebuah lagu filem animasi, The Croods berjudul Shine Your Way. Menerusi lagu tersebut Yuna berkolaborasi dengan penyanyi terkenal Owl City dan lagu tersebut pernah tercalon dalam kategori Lagu Terbaik Anugerah Oscar. Sementara itu, Yuna mengakui timbul sedikit kegusaran di hati mengenai lagu terbaharu ciptaanya, Material apabila penerimaannya mungkin disalah erti atau mencetuskan isu dan persepsi negatif. Begitupun, penghibur berusia 28 tahun ini menyifatkan single tersebut sebagai sebuah lagu yang menghiburkan untuk didengar yang menyelitkan mesej dan pengajaran. Namun, dia menyatakan lagu itu bukan bertujuan menyindir mana-mana pihak. "Sewaktu mula-mula saya melancarkan lagu Lelaki, ramai juga tidak suka dengan lagu itu. "Malah, ada yang mendakwa saya ni seorang yang memang benci dan menentang kaum lelaki. "Persepsi itu timbul kerana mereka belum betul faham lagi lirik lagu tersebut mengenai apa tetapi selepas kerap diperdengarkan, akhirnya ramai yang boleh terima. "Begitu juga dengan Material, saya ada juga terfikir dan risau kalau ada yang terasa tetapi sebenarnya saya tidak sindir sesiapa. "Lagu ni menyelitkan pengajaran bersesuaian dengan gaya hidup kita masa kini di tambah pula dengan adanya media sosial seperti Twitter dan Instagram, ramai orang saling mahu menunjukkan apa yang mereka ada atau mampu miliki misalnya barang-barang berjenama. "Ia sekadar lagu yang seronok untuk didengar tetapi terpulang jika ada yang terasa. "Saya sebenarnya sudah biasa dan tidak terlalu ambil pusing jika ada yang beranggapan negatif. Mungkin ada pihak suka politikkan saya kerana mempunyai ramai peminat dan mereka tahu saya ada pengaruh. "Saya akui seorang yang memberontak dan ada ketikanya ia mempengaruhi penulisan karya saya. Namun, hakikatnya saya seorang gadis biasa. Kadang-kadang kalau saya tidak buat sesuatu perkara itu tetap timbul tanggapan negatif. "Jadi, saya rasa baik buat apa yang saya inginkan dan suka lakukan sekadar berkongsikan hasil karya saya pada peminat," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbarunya, Material, di Kuala Lumpur, malam tadi. Album tersebut turut memuatkan lagu Lautan, Langit, Bicara, Lelaki dan single Dan Sebenarnya yang dirakamkan semula. Katanya, buah tangan kali ini di dedikasikan khas buat peminatnya di Malaysia yang sentiasa memberi sokongan meskipun dia berada jauh di Los Angeles. "Saya ada juga berasa bersalah kerana selalu berada jauh dari peminat saya di sini tetapi saya tahu yang peminat faham dan tahu pergorbanan saya. "Malah, saya bekerja keras untuk terus membuat mereka bangga sekaligus mengukuhkan lagi karier saya di sana kerana itu juga mereka terus menyokong saya. "Jadi, album ini sebagai hadiah dan tanda perhargaan saya buat mereka. Walaupun tidak dapat selalu berada dekat dengan mereka sekurang-kurangnya ada sesuatu yang saya boleh buat mereka gembira iaitu dengan album ini," katanya. Duet Bersama Penyanyi Rap Popular Amerika Syarikat Dalam perkembangan lain, Yuna menyatakan dia kini dalam proses merakamkan album Inggeris ketiga yang dijangka dilancarkan di AS pada September nanti. Menyuntik kelainan, album tersebut berkonsepkan R&B dan Hip Hop. Lebih istimewa ia menyelitkan lagu kolaborasinya bersama seorangpenyanyi rap terkenal antarabangsa "Album kali ini lain daripada album terdahulu. Ia berkonsepkan R&B dan Hip Hop tetapi saya tidak rap. Selalin itu saya ada berkolaborasi bersama penyanyi di sana tetapi saya tidak mahu dedahkan lagi siapakah dia. "Tunggu September nanti,"katanya yang sebelum ini pernah berkolaborasi dengan penyanyi rap, Pharell Williams. Meskipun dipujuk, penyanyi yang sinonim dengan imej berturban ini tetap enggan mendedahkan identiti pasangan duet terbaharunya itu. Tunggu Si Dia Dalam pada itu Yuna memberitahu dia semakin selesa menjadikan AS sebagai rumah keduanya sekaligus mengesahkan kini masih lagi solo dan belum bersedia menjalin hubungan cinta lagi. "Saya solo lagi. Buat masa ini saya mahu tumpu pada kerjaya dan tidak tergesa-gesa mencari pasangan. "Mungkin juga sebab saya belum bersedia atau jodoh saya belum sampai, jadi saya tunggu saja. "Lagipun sekarang saya sudah semakin membiasakan diri berulang alik antara Malaysia dan Los Angeles. Sekurang-kurangnya saya akan pulang sekali dalam sebulan. "Apabila di sana, saya anggap Amerika adalah rumah untuk saya berkarya dan mengekspresikan kretiviti muzik saya. "Saya akan teruskan kerjaya di sana selagi mampu dan selagi peluang saya ada," katanya.

0 comments:

Post a Comment

loading...

Popular Posts

Recent Posts

Blog Archive

Powered by Blogger.