Sunday, March 29, 2015
PM Sukar Lepaskan Puteri Kesayangan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengakui beliau dan isteri sukar melepaskan anak perempuan mereka Nooryana Najwa yang berkahwin dengan pasangannya Daniyar Kessikbayez.
“Hari ini adalah hari yang besar ertinya kepada saya dan isteri sebagai isu bapa untuk melepaskan anakanda kami, ia adalah sukar.
Tetapi hakikatnya Gina perlu melayari bahtera kehidupan, membina rumah tangga dengan pasangan pilihannya, Danny,” kata Najib.
Najib berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dan menyambut jemputan ke majlis resepsi perkahwinan Nooryana dan Daniyar.
Majlis tersebut juga sebagai meraikan usaha dan sumbangan semua kepimpinan Umno dan BN di semua peringkat terhadap perjuangan parti itu.
Dalam ucapannya juga, Najib berkata keluarganya juga tidak menyangka anak perempuannya itu akan menamatkan zaman bujangnya dengan lelaki pilihan dari Kazakhstan – yang terletak nun jauh dari Malaysia.
“Dulu kalau nak kahwin dengan orang Kelantan, (sudah) dianggap orang asing. Tapi dalam dunia tanpa sempadan ini, dia memilih Danny dari Kazakhstan,” katanya.
Najib pun turut menceritakan secara ringkas mengenai Daniyar yang tegap dan dilihat “ada kekuatan fizikal” dan pernah menjuarai pertandingan tinju.
“Jadi sesiapa nak bersaing dengannya, terpaksa memikirkan dua kali,” katanya.
Sekali lafaz guna BM
Menceritakan secara ringkas sewaktu majlis akad nikad pada 19 Mac lalu, Najib berkata Daniyar berjaya melafazkan akad dengan sekali lafaz sahaja dalam Bahasa Melayu.
“Saya tak tahu berapa kali dia berlatih setiap malam, sama ada dalam mimpi (ataupun tidak), tetapi dia sebut sekali gus. Ini satu kejayaan,” kata Najib.
Dalam ucapan ringkas itu juga, Najib turut menyifatkan anaknya sebagai seorang yang lemah lembut tetapi mempunyai kekuatan iltizam untuk mencapai sesuatu perkara.
“Kalau dia nak sesuatu, tiada sesiapa yang boleh menukar fikirannya. Saya nak tukar (fikirannya) pun tak boleh,” katanya.
Najib juga berkata beliau meluahkan rasa seronok apabila anak perempuan itu dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di luar negara.
Katanya, keluarga memberi semangat kepada Najwa supaya terus berusaha untuk mencapai sesuatu yang dihajatinya.
Sebelum Najib yang juga menteri kewangan mengakhiri ucapannya, beliau mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada semua yang menjayakan majlis resepsi ini termasuk beberapa menteri besar yang menyumbangkan masakan tradisi negeri masing-masing.
Beliau juga terpaksa memendekkan ucapannya kerana akan bergegas ke Litar Sepang bagi menyampaikan hadiah kepada pemenang F1.
Najib yang berpakaian baju Melayu berwarna ‘peach’ sedondon dengan isterinya Datin Rosmah Mansor menuruni pentas dan Najib terus bergegas ke Sepang.
0 comments:
Post a Comment