Thursday, December 25, 2014

“Tolonglah, kami tak tahu nak ke mana”

Kuala Krai – “Mula-mula keluarga kami berpindah ke rumah jiran terdekat kerana rumahnya lebih tinggi, tapi kira-kira empat jam kemudian kami terpaksa berpindah lagi ke kawasan lain sebab rumahnya juga dinaiki air,” kata mangsa banjir, Fairuzana Mohd Pilus, 41, dari Kampung Guchil di sini. Menurutnya, seluruh ahli keluarganya seramai lima orang panik melihat air naik mendadak sejak petang kelmarin, malah keadaan menjadi semakin buruk menjelang tengah malam dan awal pagi semalam. Kakitangan awam itu yang berkhidmat di Kuala Lumpur berkata, dia terpaksa menghubungi saudara terdekat untuk menyelamatkan mereka menaiki perahu selepas tiada pasukan keselamatan tampil. “Situasi ini amat mencemaskan kami sekeluarga, apatah lagi saya pulang ke kampung sempena cuti sekolah dan ini pengalaman pertama saya terpaksa mengharungi banjir. “Rumah ibu mentua yang berusia 70 tahun sememangnya dibina tinggi dan tidak pernah dinaiki air sebelum ini meskipun ketika banjir 2004, namun kejadian semalam (kelmarin) begitu mengejutkan,” katanya ketika dihubungi, semalam. Lebih menyedihkan, ibu anak dua itu berkata, kira-kira 30 kucing parsi milik ibu mentuanya gagal diselamatkan dan dikhuatiri mati. Menurutnya, tinjauan ke rumah itu pada 6.30 petang semalam mendapati hanya bumbung rumah yang kelihatan. Sementara itu, di Kampung Aw Duri, di sini, kira-kira 40 penduduk dikhuatiri terperangkap di atas bukit di ladang kelapa sawit berdekatan selepas rumah mereka dinaiki air setinggi sembilan meter sejak jam 9 malam kelmarin. Suhaina Azni, 34, berkata, dia terperangkap bersama keluarga termasuk kakaknya yang baru 18 hari pantang bersalin. “Kami tak tahu ke mana lagi nak pergi selepas air naik. Rumah saya sudah lama tenggelam dan saya nampak jelas air semakin menghampiri tempat kami berkumpul. “Sejak malam kelmarin, saya menghubungi pihak berkuasa meminta bantuan, tetapi tiada yang tampil. Tolonglah, kami tak tahu nak ke mana,” katanya. Menceritakan kejadian itu, Suhaina berkata, sudah menyedari air naik pada jam 9 malam dan mula memasuki rumah sekitar satu meter menyebabkannya mula bersiap untuk berpindah. Katanya, cuba menghubungi pasukan penyelamat untuk bantuan ketika itu tetapi bertindak berpindah dengan bantuan orang kampung selepas air naik mendadak beberapa minit selepas itu. Menurutnya, mereka juga terpaksa mendayung perahu ke kawasan ladang sawit yang lebih tinggi, namun kini bimbang bekalan makanan dibawa tidak mencukupi, lapor Hmetro.

0 comments:

Post a Comment

loading...

Popular Posts

Recent Posts

Blog Archive

Powered by Blogger.