Sunday, December 6, 2015
Nasha Aziz & Intan Ladyana Cintai Lelaki Yang Sama?
Kisah asam pedas diangkat menyatukan tiga jiwa antara si dara, Jamaliah dengan lelaki bernama Jamal yang kemudiannya baru terbongkar rahsia bahawa lelaki itu adalah bekas kekasih ibunya sendiri, Junaidah.
Plot kisah ini melatari drama bertajuk “7 Dulang Asam Pedas” lakonan Nasha Aziz, Intan Ladyana, Norman Hakim dan Hairul Azreen disiarkan pada 11 Disember ini, pukul 2.00 petang menerusi saluran TV2.
Nasha Aziz dan Intan Ladyana Cintai Lelaki Yang Sama Dalam “7 Dulang Asam Pedas” Di TV2
Drama ini mengisahkan Junaidah amat menyukai asam pedas yang dibeli anaknya, Jamaliah di Kedai Asam Pedas JJ. Sejak itu Jamaliah sering ke kedai itu membelikan asam pedas kegemaran ibunya itu. Namun sikap lepas cakap dan kejujuran melampau Jamaliah telah membuatkan Kedai Asam Pedas JJ gamat setiap kali dia hadir. Ini membuatkan pekerja-pekerja di situ enggan melayan kerenahnya. Cuma Jamal, pemilik kedai yang sanggup melayan kerenah Jamaliah.
Namun semua yang dikomen Jamaliah semuanya masuk akal dan membawa pulangan yang baik terhadap kedainya. Sejak itu Jamal merasa terhutang budi dengan Jamaliah dan tidak mengenakan bayaran terhadap asam pedas yang dibeli oleh gadis itu. Dalam diam dia menyimpan perasaan terhadap Jamaliah tetapi enggan berterus-terang kerana dalam masa yang sama, dia sentiasa dihimpit oleh Sheen, anak orang kaya yang terlalu obses dengan dirinya.
Di rumah hubungan Jamaliah dengan ibunya bertambah rapat berbanding sebelumnya. Junaidah dapat merasakan anaknya mula memahami kehendaknya terutama minatnya terhadap asam pedas. Hinggalah satu hari ibunya bertanyakan Jamaliah tentang calon suaminya. Jamaliah tidak menjanjikan apa-apa sebaliknya menentukan kepada jodoh bila Jamal akan terbuka hati mahu melamarnya.
Meskipun risau penerimaan ibunya terhadap Jamal yang dirasakan seusia ibunya, Jamaliah nekad mahu mempertemukan keduanya. Tetapi alangkah terkejutnya Jamal apabila mendapati ibu kekasihnya itu adalah bekas kekasihnya yang ingin dinikahinya 20 tahun lalu. Masing-masing kelu lidah untuk berkata-kata.
Seperti yang dijanjikan, majlis pertunangan Jamaliah dan Jamal mula diaturkan. Jamaliah menghadiahkan ibunya kebaya cantik untuk dipakai sewaktu majlis berlangsung kelak. Namun sebenarnya dia mempunyai perancangan lain demi masa depan ibunya yang tersayang.
Apakah sebenarnya yang cuba diaturkan oleh Jamaliah? Bagaimana pula dengan Sheen yang tidak sudah-sudah mengejar cinta Jamal? Saksikan kesudahannya dalam “7 Dulang Asam Pedas” di TV2.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.
0 comments:
Post a Comment