Monday, December 7, 2015
Perempuan Itu Sendiri Kata Tak Kisah Digelar Perampas
"Perkahwinan itu bukan mudah. Isteri itu amanah, bukan untuk dipakai buang,"
Sayu hati mengenang nasib sahabat saya ini. Berat lagi dugaan buat dia yang menanggung beban. Sudah lebih tiga tahun berkahwin dan sekarang dia tengah sarat mengandung anak sulung setelah keguguran beberapa kali. Allah, hebat ujian buatmu sahabat.
Buat sang suami, lupakah dikau akan pengorbanannya? Saat kau tagih cintanya, onak dan duri sanggup kau redah. Saat kau petik dia, kau tak punya apa-apa. Saat kau susah, dia ada di belakang menyokong perjuanganmu. Sanggup bersusah payah bersamamu. Hidup susah sampai kau mampu mencari rezeki melalui pendapatan sampingan. Sanggup dia redah semua itu kerana kasih dan sayangnya seorang isteri pada suami.
Tapi suami, masih punya hati untuk memetik bunga yang lain dan si isteri yang telah lama bersusah payah membantu kau selama ini sanggup kau buang? Allah, lupakah dikau ada jantung berdegup di dalam rahimnya? Tergamak kau tinggalkan dia sendiri di rumah dalam keadaan yang tengah sarat itu? Allah, semoga Allah buka mata hatimu itu.
Anak dalam kandungannya itu anugerah terindah. Untuk sama-sama dibimbing menuju fisabilillah. Tahukah kelak kamu akan disoalNya di sana? Mana tanggungjawabmu sebagai seorang suami? Dan lagi berat tanggungjawabmu sekiranya anak dalam kandungan itu adalah perempuan.
Sungguh Allah jadikan ujian untuk setiap hambaNya berbeza. Setiap orang punya bahagian masing-masing. Soal rezeki, soal jodoh, soal anak, soal kematian dan sebagainya. Tetapi kita sebagai hambaNya turut kena menimba ilmu dalam mengharungi setiap perkara yang telah direncanakan. Tanggungjawab itu bukan mudah.
Pesanan buat anak muda yang sibuk mencari pemilik tulang rusuk dan sebaliknya, ketahuilah bahawa perkahwinan itu bukan mudah. Banyak tanggungjawab, toleransi, kesepakatan yang perlu kita pupuk di sepanjangnya. Berkasih sayang bukan untuk sehari dua. Anak-anak yang dianugerahkan Allah kemudian hari juga perlu kita corakkan akhlak mereka. Sedarkah kita akan setiap tanggungjawab yang akan disoal di akhirat kelak? Saham kita di sana.
Buat wanita, zaman sekarang ini kita perlu lebih berhati-hati. Wajar untuk kita sediakan dana kecemasan untuk kes-kes seperti ini. Sesuatu di luar jangkauan akal fikiran tetapi ada kemungkinan. Kita mungkin cuba sedaya upaya mengelaknya tetapi siapa tahu? Kadar penceraian sekarang amat tinggi. Semoga dijauhkan dari perkara-perkara seperti ini. Doakan yang terbaik dan semoga Allah permudahkan setiap urusan.
Buat wanita perampas, moga Allah bukakan hatimu untuk nampak kesulitan yang ditanggung si ibu ini. Buat sahabatku, semoga Allah berikan kekuatan. -
0 comments:
Post a Comment