Tuesday, December 8, 2015
Pesawat Tersadai Milik Siapa? Malaysia Airports Minta Pemilik Ambil Balik Atau Dijual?
Biasanya pemilik kereta yang tidak mampu membayar ansuran bulanan sahaja membiarkan kereta mereka tersorok dan tersadai, pemilik kapal terbang pun ada yang buat sampai begitu.
Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terdapat tiga buah pesawat jenis Boeing 747-200F tersadai di ruang parkir pesawat di lapangan terbang itu.
Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASB) di Sepang semalam telah mengeluarkan notis untuk pemilik berkenaan menuntut semula pesawat mereka sebelum tindakan diambil.
Menurut notis itu, pemilik pesawat itu gagal menjelaskan bayaran caj yang dikenakan terhadap mereka.
“Jika anda gagal untuk mengambil semula pesawat ini dalam tempoh 14 hari notis dikeluarkan, pihak kami berhak untuk menjual atau melupuskan pesawat tersebut dibawah Akta Penerbangan Awam 1969.
Notis tuntutan yang dikeluarkan Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd.
“Wang tersebut akan digunakan untuk membayar caj dan hutang syarikat seperti dinyatakan dalam akta berkenaan,” demikian menurut notis dari MASB yang disiarkan media hari ini.
Tiga pesawat tersebut dari jenis Boeing 747-200F dengan dua daripadanya berwarna putih dengan nombor pendaftaran TF-ARN dan TF-ARH manakala sebuah lagi berwarna putih mati dengan nombor pendaftaran TF-ARM.
Ketiga-tiga pesawat itu masing-masing diletakkan di ruang parkir KLIA lot B61, B62 dan M3.
Jika anda menaiki pesawat untuk penerbangan, sebelum berlepas anda akan pasti dapat melihat ketiga-tiga pesawat berkenaan tersadai di lapangan terbang itu dalam keadaan sudah semakin usang.
Adakah tiga pesawat itu mampu untuk terbang juga amat meragukan kerana sudah tersadai di kawasan lapangan terbang itu untuk satu tempoh yang agak lama.
Nampaknya, pihak MASB mungkin terpaksa menjawab perkara ini kerana mustahil pemilik tiga pesawat besar jenis Boeing 747 sebegitu tidak dapat dikesan.
0 comments:
Post a Comment