Sunday, December 13, 2015
Penjawat awam ditahan dan merayu "Jangan beritahu isteri saya"
Penjawat awam ditahan dan merayu ‘Jangan beritahu isteri saya’ | “Tolong jangan hubungi isteri saya encik, dia sarat mengandung dan ada tiga anak untuk dijaga, susah untuk dia datang ke sini (balai polis),” rayu seorang penjawat awam yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam perlumbaan kereta haram di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), di sini, awal pagi semalam. Dalam operasi kira-kira jam 3.30 pagi, penjawat awam berusia 30 tahun itu antara dua yang ditahan ketika baru menamatkan tiga pusingan perlumbaan haram menggunakan laluan itu sebagai litar.
Dia dan seorang lagi yang ditahan ialah pekerja sebuah kilang di Batu Berendam, berusia 23 tahun kemudian di bawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, untuk siasatan lanjut. Menurut sumber, dua lelaki itu ditahan di stesen minyak Petronas Krubong, sejurus menamatkan pusingan perlumbaan, namun ketika dihampiri anggota polis mereka berlagak selamba bagi mengelak ditahan.
“Namun, wajah kedua-duanya berubah dan menjadi kelam kabut sambil mempersoalkan sebab mengapa mereka ditahan selain berlakon seolah-olah tidak melakukan kesalahan,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, kedua-dua pemandu itu ditahan dalam Op Samseng Jalanan oleh Cawangan Trafik IPD Melaka Tengah dengan kekuatan seorang pegawai dan enam anggota, bermula 11 malam hingga 4 pagi.
“Mengikut maklumat yang kami terima, 30 hingga 40 kereta pelbagai jenis terbabit dalam lumba haram di beberapa jalan di daerah ini dan sebelum dua suspek terbabit ditahan, kami mendapat maklumat tiga kereta sedang berlumba di Lebuh SPA. “Pusingan perlumbaan bermula dari Stesen Minyak Petronas ke persimpangan lampu isyarat Stadium Hang Jebat dan berpatah balik ke stesen minyak terbabit. “Dua suspek ini bersama seorang lagi yang meloloskan diri memandu dalam keadaan berbahaya iaitu berlumba pada jarak kira-kira dua kilometer yang diulang beberapa pusingan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, dua suspek terbabit adalah antara kumpulan yang sering berlumba kereta di beberapa lokasi di sekitar Auto City, Lebuh SPA, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Cheng serta Lebuh AMJ berhampiran Melaka Sentral. Menurutnya, kedua-dua pemandu itu memandu secara melulu dan tindakan itu boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain terutamanya penunggang motosikal. “Difahamkan mereka tidak bertaruh wang tapi bertaruh ego dan bangga dengan kelajuan kereta yang sudah diubahsuai,” katanya.
Shaikh Abdul Adzis berkata, kedua-dua pemandu itu ditahan direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga lima tahun dan denda minimum RM5,000 hingga RM15,000. “Dua kereta iaitu Proton Saga BLM dan Proton Wira yang dipandu suspek ketika berlumba akan dihantar ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi melakukan pemeriksaan enjin,” katanya. Sementara itu tinjauan mendapati, puluhan kereta diparkir di tepi jalan di Lebuh SPA dipercayai menunggu giliran dan ramai juga datang untuk menyaksikan perlumbaan haram itu. -Metro
0 comments:
Post a Comment