Wednesday, October 7, 2015
“Abg tak putus dengan Ratna, abg berkahwin dengan Ratna…” – Suami Curang
LEMAH lesu di perbaringan, saya memandang kosong ke dinding wad. Telefon bimbit kejap di tangan. Saya masih berkira-kira sama ada hendak menelefon suami atau tidak. Sudah beberapa jam saya dimasukkan ke wad bersalin ini, bayi ketiga hasil perkahwinan 10 tahun lalu, belum diazankan.
ALLAHUAKBAR… kuatkan semangatku. Janganlah KAU izinkan suami ke mari bersama perempuan itu. Rintih saya sebelum menggagahkan diri mencari kekuatan untuk mendail nombor suami. Hanya mendail dengan jari, tetapi kekuatan yang diperlukan ibarat segunung bongkah batu. Demi cinta dan demi anak ini, saya hubungi juga si pemilik hati.
“Assalamualaikum abang. Tia dah bersalin. Wad bersalin tingkat 3. Datang sendiri ya.”
“Ok kejap lagi abang sampai.”
Satu jam, dua jam, tiga jam, siang membawa ke malam. Suami ditunggu tak kunjung tiba. Entah ke sekian kalinya, saya tenggelam dalam lamunan air mata. YA ALLAH, berat sungguh ujian ini.
Di saat saya berjuang antara hidup dan mati, suamilah orang yang paling saya tunggu-tunggu untuk memegang tangan ini, mengucup dahi ini dan memberikan seluruh kata semangat buat saya meneruskan perjuangan. Nyawa yang saya perjuangkan adalah nyawa bayinya, zuriatnya, benihnya!
Tapi kenapa… kenapa setelah saya melalui tempoh getir itu seorang diri pun, suami masih belum menjejakkan kaki melihat saya?
Siapakah saya padanya? Astaghfirullah… saya beristighfar. Sudah jam 3 pagi. Bayi saya menangis minta disusukan. Saya mengangkat tubuh si kecil dan membawa bibirnya menyentuh dada yang tidak berair. Sudah berkali-kali mencuba, dada saya membengkak tetapi susu tidak mahu keluar. Doktor kata, saya perlu memujuk emosi.
Bagaimana doktor? Sudah tiga hari saya di hospital sejak mengalami contraction. Namun sehingga hari ini, suami tidak datang menjenguk. Saya buntu, lemah, kalah. Saya tak mampu harungi semua ini lagi.
Suami datang menjenguk
Pagi itu, ada sesuatu yang hangat menyentuh tangan saya. Dek kerana banyak menangis, mata ini terasa berat untuk dibuka. Saya usaha perlahan-lahan. Pandangan yang berbalam-balam tidak menghalang untuk saya mengenal siapa di hadapan mata. Saya peluk dan saya cium cinta hati saya itu. Sepuluh tahun berumah tangga, masakan saya mampu membenci dia meski pun selalu melukakan?
Suami menguraikan pelukan. Saya senyum dengan air mata yang masih bersisa. Terlalu banyak yang ingin saya perkata. Banyak juga yang ingin saya tanya. Tidak tahu bagaimana hendak bermula, yang pasti momen itu seakan tidak mahu saya akhiri. Saya terharu. Saya peluk dan cium lagi wajah suami. Dia menyimpul senyum, menggenggam erat jemari saya sambil menggendong bayi kami.
“Abang dah azankan Adam. Doktor kata tunggu sehari lagi baru Tia boleh keluar wad. Jaga diri baik-baik ya.”
Adam? Nama yang cantik untuk bayi bertuah saya… Suami yang pilih. Saya akur segalanya…
“Abang pergi mana? Tia memandu ke hospital sendiri. Telefon abang tak dapat-dapat. Kan abang janji nak teman Tia bersalin? Dua anak kita abang tunggu, kenapa kali ini tak?” Terhambur juga persoalan yang membelenggu. Saya cuba menahan emosi. Saya tidak mahu kelihatan lemah sehingga boleh dipersendakan sewenang-wenangnya.
Suami hanya menunduk. Tiada jawapan untuk segala persoalan saya.
“Mas! Jangan lama. Udah telat.” Seseorang menjengah di daun pintu. Saya terkesima.
“Kenapa abang bawa dia ke sini? Kan Tia dah pesan supaya abang putus dengan dia? Abang nak Tia dan anak-anak atau nak dia? Jawab Tia abang!” Saya tak dapat mengawal marah. Sumpah dada saya ngilu bagai disiat-siat. Saya tarik baju suami. Marah saya sampai ke puncak. Saat itu saya rasa mahu berdiri dan menumbuk wajah Ratna tapi bilamana kaki bergerak, jahitan bersalin terasa koyak. Saya menjerit memegang ari-ari.
Suami kaget. Dia meletakkan Adam sebelum membantu saya membetulkan duduk. Akhirnya saya terpaksa menangis. Tiada sebarang kekuatan untuk saya waktu itu. Hanya air mata menghamburkan luluh hati.
“Abang minta maaf. Abang ingkar janji. Abang tak putus dengan Ratna, sebaliknya abang ke Medan, berkahwin dengan Ratna…”
Ya ALLAH… saya sembamkan muka ke dada suami. Akhirnya saya sedar, saya semakin tewas…
Dua minggu saya melalui tempoh berpantang tanpa suami di sisi. Dia di rumah bini barunya dan saya ditemani adik-beradik dan ibu yang tidak habis-habis mendesak untuk memohon penceraian. Merekalah yang menjaga saya berpantang.
Memang, sudah tiba masanya saya bertindak. Ini bukan kali kedua suami mengkhianati rumah tangga kami malah berpuluh-puluh kali dan ibu adalah orang yang paling lelah mendengar cerita yang saya pendam selama sepuluh tahun ini.
Melalui tempoh yang panjang sebagai seorang balu untuk membesarkan lima anak, ibu langsung tidak bersetuju cadangan adik-beradik agar saya bercerai, namun demi saat itu dia telah merelakan. Saya? Belum ada keputusan. Dalam hati selalu berdoa suami saya dikembalikan. Jika benar ini penganiayaan, saya mahu suami saya dikembalikan… dikembalikan…
0 comments:
Post a Comment