Wednesday, October 21, 2015

Sampai Hati Abang Duakan Tia Dengan Pekerja!!!

BUKAN niat untuk mendedahkan demi simpati atau mengaibkan diri sendiri dan keluarga apatah lagi bekas suami. Kisah ini saya imbau demi iktibar dan pedoman kepada rakan-rakan wanita. Dan mudah-mudahan ia juga memberikan kekuatan kepada diri saya untuk meneruskan kehidupan yang masih bersisa. Ketika menelusuri denai berlopak di hadapan stesen bas berdekatan Kampung Baru, saya lihat kelibat seorang perempuan berusia 30-an mengheret seorang kanak-kanak dua tahun. Hujan masih renyai. Saya suruh suami berhenti dan perlahan-lahan saya keluar dari kereta. Saya berlari-lari kecil mendekati wanita itu. “Nak pergi mana hujan-hujan ni?” “Cari kerja bu. Saya dihalau majikan. Enggak tahu mahu ke mana.” Demi mendengar jawapannya, dada saya meruntun hiba. Benarlah telahan saya bahawa wanita ini bersama anaknya dalam kesusahan. Entah apa salah silapnya terhadap majikan namun bagi saya, menghalau mereka di waktu hampir senja, dalam hujan renyai adalah perbuatan tidak wajar. Tiada belas kasihan dan kasih sayang. Saya pandang suami dalam kereta. Dia yang seakan memahami menganggukkan kepala, membenarkan saya menjemput wanita itu masuk ke dalam kereta. “Makasih ya pak sama ibu. Saya Ratna. Ini anak saya, Juita. Dari Medan. Udah banyak tahun di Malaysia. Saya kahwin sama orang Indonesia tapi udah cerai setahun lalu dan dia pulang ke seberang bawa anak lagi satu.” Ratna memperkenalkan diri tanpa dipinta. Saya dan suami hanya berpandangan. Memang kasihan. Malam itu, kami berbincang untuk membenarkan Ratna bekerja di restoran milik suami dan tinggal di rumah pekerja, juga kebanyakannya wanita Indonesia. Ratna mudah serasi dengan pekerja lain dan dia juga dapat pengasuh untuk anaknya. Bulan pertama, saya sibuk menguruskan dokumentasi Ratna termasuk pas pekerja dan permit. Seperti mana pekerja lain, Ratna dilayan sama rata dan diberikan gaji mengikut kebolehannya. Dia pandai memasak dan pandai juga mengambil hati pengunjung. Jujur saya akui, beberapa bulan bekerja, Ratna antara pekerja yang rapat dengan saya dan mudah dibawa bersembang. Saya dan suami turut membelikan tiket kapal terbang untuk Ratna pulang ke Medan menghantar anaknya dan menjenguk anak yang seorang lagi, selain menghantar belanja di kampung. Tiada istilah berkira kerana pekerja adalah sumber pendapatan kami sekeluarga. Terbongkar lagi Hampir dua tahun bekerja, saya mengandung anak ketiga. Alahan teruk menyebabkan saya tidak mampu untuk selalu berada di restoran menguruskan kaunter dan menutup akaun. Biasanya jam 3 atau 4 pagi baru saya balik ke rumah tapi sejak hamil jam 9 atau 10 saya sudah balik meninggalkan Ratna yang saya amanahkan untuk menjaga restoran. Kandungan masuk enam bulan. Saya mula mendengar cerita tidak enak mengenai sikap Ratna dan suami yang dikatakan sering bersama. Agakan saya, mungkin atas urusan akaun. Saya perhatikan sikap mereka sama sahaja, bak majikan dengan pekerja. Tapi lama-kelamaan, cerita yang kedengaran seakan bukan bualan kosong. Tiga bulan berlalu, saya diam dan cuba telan berita tidak enak mengenai mereka berdua. Namun hati isteri mana yang mampu tenang. Cerita demi cerita, semakin menghimpit perasaan. Pekerja sarankan saya pergi pada jam tertentu di mana suami dan Ratna bercumbuan. Mereka meluat melihat Ratna yang semakin terang-terangan memperlihatkan kemesraannya dengan majikan. Malam itu, dengan perut yang memboyot, saya gagahkan diri ke restoran jam 2 pagi. Waktu ini, pelanggan mula susut dan biasanya saya, suami atau Ratna sudah di kaunter memulakan kira-kira. Saya berjalan perlahan dari pintu belakang restoran. Pekerja yang menyedari kedatangan saya diam tak berkutik. Saya perlahankan langkah. Dari belakang sayup-sayup terdengar gelak ketawa Ratna dan suami di kaunter. Saya mengintip. Tangan Ratna enak melingkar di bahu suami. Kepalanya meliuk-lentuk begitu mesra dan manja. Beberapa kali, saya melihat suami memandang kiri dan kanan sebelum satu kucupan hinggap di pipi Ratna. Ya ALLAH… suami saya orang agama… saya terduduk. Hendak bersalin Saya mengongoi macam budak kecil. Ibu, abang, adik-beradik, semua saya sudah panggil. Mereka berhimpun di rumah saya subuh itu. Suami yang baru balik kerja terkejut tetapi seakan menduga. “Tia nampak semuanya abang… sekarang ni, depan mak dan adik-beradik Tia nak abang lepaskan Tia. Sampai hati abang duakan Tia dengan pekerja? Tak cukup ke apa yang abang dah buat pada Tia selama ni? Abang dah curang berpuluh-puluh kali! Tia dah maafkan abang berpuluh-puluh kali! Abang siap bertaubat, bawa Tia pergi Makkah, naik haji, jadi orang agama, kenapa abang ulang lagi?!!!” Air mata saya mengalir laju. Sumpah, saya amat sayangkannya! Mak dan adik-beradik lain terkejut dengan kata-kata saya. Selama ini, baru mereka sedar bahawa suami saya yang alim di hadapan mereka telah banyak melukakan hati saya dengan sikap kaki perempuannya. Abang kandung menggenggam penumbuk. Saya sudah tidak kisah apa akan berlaku pada suami. Dia memang layak dikerjakan. “Sumpah mak, abang, saya tak buat apa-apa dengan Ratna! Tia tolonglah abang sayangkan Tia dan anak-anak. Tia, kita berhentikan Ratna. Hantar dia balik Indonesia. Abang janji! Tolonglah Tia. Tia mengandung. Jangan buat macam ni” Demi mendengar perkataan sumpah dari suami, saya menjerit macam orang gila. Saya benci dengan sumpahnya! Saya benci penipuannya! Saat itulah saya tidak sedar bila saya rebah dan tahu-tahu, saya sudah di hospital hendak bersalin.

0 comments:

Post a Comment

loading...

Popular Posts

Recent Posts

Blog Archive

Powered by Blogger.